KELANTAN MEMBELASAH SELANGOR 5-1
KELANTAN membelasah teruk Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi
Dua jaringan Ramzul Zahini Adenan serta satu gol menerusi kapten, Badhri Radzi, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha memastikan bekalan selesa Kelantan untuk separuh akhir kedua di Kota Bharu, Isnin ini.
Di hadapan 10,000 penyokong Selangor dan 20,000 penyokong Kelantan, pasukan pelawat tidak perlu menunggu lama untuk gol pertama pada minit ke-10 apabila Ramzul menolak masuk bola muntah selepas dua percubaan awal Nurul Azwan dan Norshahrul gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.
Kelantan terus garang apabila berjaya menambah gol kedua juga menerusi Ramzul yang pantas menyambut hantaran Norshahrul hasil sepakan percuma Badhri pada minit ke-40.
Tiga minit kemudian, Kelantan mendapat gol ketiga menerusi Badhri yang mudah menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan dari sebelah kiri.
Pada babak kedua, Kelantan memasukkan Khalid Jamlus bagi menggantikan Ramzul yang cedera pada minit ke-54 dan seminit kemudian, Selangor melakukan dua pertukaran serentak memasukkan Rudie Ramli dan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Fadzli Saari dan Hardi Jaafar.
Namun kegarangan Kelantan sukar dibendung apabila mereka berjaya menambah gol keempat menerusi penyudah Nurul Azwan hasil serangan balas pada minit ke-67.
Gol kelima pula menyusul pada minit ke-71 selepas Norshahrul tenang menyudahkan lorongan Khalid.
Jurulatih Selangor, K. Devan akhirnya mengeluarkan Saiful Amar dan memasukkan penjaga gol simpanan, Iqbal Suhaimi pada minit ke-74 bagi mengelakkan gawang mereka terus dibolosi.
Rekod cemerlang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang gawangnya tidak dibolosi sepanjang lima perlawanan berturut-turut musnah apabila Amri Yahyah meledak gol tunggal Sela- ngor pada minit ke-90.
0 comments:
Catat Ulasan