15 Jun 2011

Airbus bina pesawat kabin telus untuk tahun 2050


 

ILUSTRASI konsep pesawat masa depan yang diterbitkan oleh Airbus kelmarin, menunjukkan kabin telus, membolehkan penumpang melihat pemandangan di sekeliling ketika terbang merentasi udara. Pesawat ini dijangka beroperasi pada 2050.

 Syarikat pengeluar pesawat, Airbus mempamerkan reka bentuk konsep bagi pesawat masa depan dengan kabin yang telus supaya penumpang dapat melihat pemandangan di sekeliling ketika terbang merentasi udara.
Pesawat yang dilengkapi membran dinding kabin 'pintar' dan permainan interaktif itu dijangka mula beroperasi pada 2050.
Konsep futuristik bagi perjalanan udara dalam tempoh 40 tahun akan datang itu didedahkan di sini semalam oleh Airbus dan pastinya akan menggerunkan mereka yang sudah sememangnya takut menaiki penerbangan.
Kabin kelas pertama, perniagaan dan ekonomi digantikan dengan zon-zon untuk bersantai di depan, bekerja di belakang, dan sebuah bar serba lengkap untuk bersosial.
Penumpang akan dapat melihat pemandangan di sisi dan depan mereka, kerana itu penutup mata mungkin perlu dipakai semasa berlepas dan mendarat.
Dinding pesawat berubah mengikut keadaan cahaya manakala paparan permainan holografik dan kemudahan hiburan dalam penerbangan menggunakan kuasa yang dijana dengan haba tubuh penumpang.
Kabin konsep itu merupakan struktur bionik yang meniru kecekapan tulang burung, dakwa Airbus.
Ia akan memberikan kekuatan di mana perlu, di samping membolehkan pemasangan membran dinding kabin 'pintar' yang mengawal suhu udara dan boleh dijadikan telus supaya penumpang menikmati pemandangan panorama yang terbuka luas.
Kabin masa depan itu menyusuli pesawat konsep yang dipamerkan oleh Airbus pada tahun lepas, dilengkapi pelbagai teknologi untuk mengurangkan penggunaan bahan api, pengeluaran asap, pembaziran dan bunyi.
Penyelidikan menunjukkan penumpang pada 2050 mengharapkan pengalaman perjalanan yang lancar sambil mengambil berat tentang alam sekitar dan kabin konsep itu direka dengan tujuan itu.

1 comments:

ASSOYFINGER67 berkata...

Bolehler aku p melancung..masa tu KWSP aku keluar dah miahahahah...ke Mekah ada tak huhu

Catat Ulasan