10 Jun 2011

Kebakaran ancam 3 bandar di Arizona



PHOENIX: Kebakaran hutan di Arizona dipercayai berpunca daripada kecuaian sekumpulan penduduk yang berkhemah terus marak buat hari ke-11 kelmarin, memaksa beribu-ribu penduduk lari selain menyebabkan sebuah bandar hangus dan kawasan hutan pokok pain seluas 1,550 kilometer (km) persegi rentung. 

Kebakaran itu adalah yang kedua terburuk dalam sejarah Arizona membabitkan pusat percutian pergunungan Greer yang dikosongkan beberapa hari sebelum api tiba, kata pegawai kepada wartawan di bandar berdekatan, Springerville. Pegawai bomba, Kapten Jim Wilkins, berkata masih terlalu awal untuk menyatakan berapa banyak daripada beratus-ratus kediaman yang musnah tetapi menyatakan: “Kami tahu kebakaran itu membakar hangus sebahagian besar kawasan berkenaan.” 

Awalnya, pihak berkuasa mengarahkan semua penduduk Springerville dan Eager berpindah. 

Dua bandar itu yang berdekatan sempadan New Mexico mempunyai 8,000 penduduk. 

Selain itu, seramai 2,000 lagi penduduk sudah diarah keluar dari kawasan berkenaan sejak dua hari lalu tetapi ada yang dibenarkan tinggal buat sementara. 

Sekurang-kurangnya 11,000 lagi penduduk sudah dipindahkan dari kawasan White Mountains, sebuah tempat percutian popular bagi warga Arizona yang mahu mengelak daripada cuaca panas, selepas api mula merebak 29 Mei lalu. 

Kebakaran itu belum dapat dipadamkan 2,000 anggota bomba tetapi tiada penduduk yang maut atau cedera setakat ini manakala kerugian struktur hanya membabitkan 11 bangunan, empat daripadanya kabin, kata pegawai. 

Pegawai New Mexico juga melakukan persediaan menghadapi kebakaran itu yang kini sejauh lebih satu kilometer dari negeri itu. 

Angin yang membantu api merebak dijangka kembali menjadi faktor besar menyukarkan kebakaran dipadamkan kerana diramal mencapai kelajuan 68 kilometer sejam lewat kelmarin. 

“Kebakaran ini amat besar dan kuat. Kami belum dapat mengawalnya,” kata pegawai penerangan, Brenyn Lohmoelder. 

Anggota bomba turut terancam kerana api boleh tiba-tiba marak kerana daun pokok yang masih terbakar dibawa angin ke kawasan baru, kata pegawai bomba, Jim Whittington. 

1 comments:

ieda Qema berkata...

akibat kelalaian manusia, jadilah masalah macam nih... alahaii...

Catat Ulasan