22 Mac 2011

Lambakan Rumah Urut - Salah Siapa?





         Hanya dalam masa tiga hari tinjauan di sekitar Lembah Klang, Mingguan Malaysia memperoleh angka yang mengejutkan - lebih 1,500 rumah urut kebanyakannya tidak berlesen dikesan.
Lebih memeranjatkan, ada antara lokasi di kawasan tertentu mempunyai 15 hingga 20 rumah urut! Begitu sekali rancaknya bisnes rumah urut di negara ini.
Bertopengkan pusat refleksologi dan spa, jumlah rumah urut di negara ini ternyata semakin meningkat tanpa keperluan yang munasabah.
Walaupun serbuan demi serbuan dilakukan pihak berkuasa dalam menangani kegiatannya, usaha tersebut seolah-olah tidak berkesan dan tiada penghujung.
Inilah realiti yang ditemui dalam tinjauan di beberapa kawasan termasuk Puchong, Kuchai Lama, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Damansara bagi membongkar kisah di sebalik rumah urut.
Paling mengejutkan ialah kebanyakan tukang urut bukan terdiri daripada penduduk tempatan tetapi warga asing terutama dari China, Indonesia, Filipina dan Thailand. Rata-ratanya pula apabila diajak berbual, tidak mampu bertutur dalam bahasa Malaysia.
Statistik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan, hanya empat lesen rumah urut dikeluarkan setakat ini. Bagi pusat rawatan kaki atau pusat refleksologi pula, sebanyak 279 lesen dikeluarkan manakala 41 lesen lagi diberikan untuk pusat-pusat spa.
Menurut jurucakap DBKL, setiap lesen dikeluarkan adalah mengikut bidang tugas dan perkhidmatan yang telah ditetapkan.
"Pusat refleksologi tidak boleh memberikan perkhidmatan urutan badan kerana lesen untuk memberi khidmat urutan badan hanya kepada pemilik lesen rumah urut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Namun, pengalaman yang dilalui mendapati, rata-rata pusat refleksologi memberikan perkhidmatan urutan badan yang jelas bercanggah dengan syarat pengeluaran lesen.
Menurut jurucakap DBKL itu lagi, pihaknya kerap melakukan pemantauan terhadap rumah urut dan refleksologi bagi membendung penyalahgunaan lesen.
Tambahnya, jika terdapat pihak yang melanggar arahan, lesen akan ditarik dan tidak dibenarkan disambung pada tahun berikutnya.
Bagaimanapun, DBKL tidak dapat memberikan jumlah lesen yang telah ditarik balik dengan alasan tidak mempunyai data yang tepat.

-Utusan Online

2 comments:

zulkoa berkata...

fuyoh..aku x penah pg spa..

x berkesempatan..

ASSOYFINGER67 berkata...

sepatutnya bukan lesen saja..bangunan tu patut disita....kadang2 macam kelakar pulak bila minggu depan dah bukak balik huhu

Catat Ulasan