Program Wanita Hari Ini terbitan TV3 pada 17 Januari lalu telah membincangkan segmen bertajuk Salahkah Besarkan Payu Dara?
Tajuk ini dibincangkan secara terbuka dan ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Antara panel yang dijemput termasuk pakar pembedahan plastik Dr. Benjamin George, pakar fesyen Azril Kamarudin dan dua artis iaitu Elly Mazlein dan Mimi One Emcees. Tiada panel dari pakar agama untuk menilai dari sudut keagamaan serta hukumnya.
Wajarkah segmen ini membincangkan isu berkaitan payu dara iaitu anggota 'sulit' bagi wanita secara terbuka apatah lagi dibincangkan bersama panel pakar dari kaum lelaki?
Ini isu sensitif dan mungkin program ini terikut-ikut dengan pendekatan barat yang bersifat terbuka. Namun kita di Malaysia yang mempunyai adab dan kesopanan patut tidak membincangkan isu ini secara terbuka.
# Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan jika pembedahan plastik dilakukan semata-mata untuk kecantikan seperti mengecilkan saiz hidung atau membesarkan payu dara supaya kelihatan lebih cantik, maka hukumnya adalah haram.